Thursday, March 12, 2009

PPSMI

Salam semua ..

"SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya, " kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.

Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada. Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal.

Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya.

Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: "Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap."

Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna.

Hayati sikap Datuk A Samad Said ini:

1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua.

Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.

6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.

Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan.

Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.

7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.

Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini.

(Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.)

No comments: